UkhWaH FillAh.....

Isnin, 28 November 2011

AdaKah Kita GolonGaN BerSyuKUr..??


 Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh...


 “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih” (Surah Ibrahim:7)
 Setiap detik kita menggunakan nikmat kurniaan Allah, amat sedikit yang menyedarinya, apa lagi untuk mengsyukuri akan kurniaan itu. Kurniaan Allah tidak terhitung., “Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya.”(Surah An-Nahl:18)
 Adakah kita tergolong dari golongan yang bersyukur? Allah menjelaskan “Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur” (Surah Yusuf:38). Ingatlah, Allah mengurniakan nikmat kepada seluruh makhlukNya semata-mata untuk disyukuri, bukan untuk dikhianati. Sesungguhnya Allah pemberi nikmat sebenar yang menjanjikan tambahan nikmat kepada mereka yang bersyukur dan azab seksa amat pedih bagi mereka yang kufur. Mungkin sahaja selama ini kita menjalani kehidupan tanpa ada rasa syukur, atau rasa syukur yang amat sedikit. Manusia sering merasakan bahawa apa yang dimiliki adalah hasil usaha dan menjadi hak mutlak mereka. Kerana itu apabila sesuatu keinginan tidak dapat dicapai atau diperolehi kita mudah berasa kesal. Malah mungkin juga kecewa, lalu menyalahkan takdir dan mencari-cari kesalahan orang lain. Itu adalah akibat gersang rasa syukur dalam diri manusia.

Syukur, inilah satu perasaan yang jarang melekat di hati kita. Malah kita kerap kali lupa dan alpa. Mulai sekarang, ketahuilah bahawa sebenarnya kita adalah orang yang sangat bertuah, baik dalam pelajaran, keluarga, ekonomi, dan yang selalu kita lupa adalah nikmat kesihatan dan waktu lapang kita... mahupun dalam kehidupan sehari-hari. Maka sewajarnyalah untuk kita syukuri.
 Imam Al Ghazali mendefinisikan nikmat sebagai setiap kebaikan, kelazatan dan kebahagiaan serta setiap kebahagiaan hidup ukhrawi - hari akhirat yang kekal abadi. Secara umumnya, nikmat kurniaan Allah dibahagikan kepada dua iaitu nikmat bersifat fitri atau asasi yang dibawa manusia ketika dilahirkan. Kedua, nikmat mendatang iaitu nikmat yang diterima atau dirasakan sewaktu-waktu. Nikmat bersifat fitri digambarkan Allah dalam firman bermaksud: Dan Tuhan melahirkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui apa-apa pun. Dan (kemudian) diberikan kamu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu bersyukur - berterima kasih. (Surah An Nahl: 78)
Nikmat yang dianggap mendatang ialah segala kenikmatan, kelazatan dan kebahagiaan diterima manusia sepanjang perjalanan hidup termasuk isi alam daripada tanaman, binatang ternakan serta sumber asas yang boleh dimanfaatkan. Firman Allah bermaksud: Dan sebagai tanda untuk mereka ialah bumi yang mati (kering). Kami hidupkan dan kami keluarkan dari dalamnya buah tanam-tanaman yang sebahagiannya mereka makan. Dan Kami adakan padanya kebun kurma dan anggur. Dan Kami pancarkan kepadanya beberapa mata air supaya mereka dapat makan buahnya. Semua itu bukanlah (hanya) usaha tangan mereka. Mengapa mereka tidak bersyukur. (Surah Yasin: 31-35)

Lumrahnya, manusia menyedari nikmat kurniaan Allah kepadanya apabila nikmat itu hilang (dicabut oleh Tuhan). Jika matanya rosak sebelah, kaki patah atau tangan kudung, barulah dia merasa nikmatnya mempunyai dua biji mata, kaki dan tangan yang tidak cacat.

Sesungguhnya nikmat kesihatan betul-betul dirasai apabila kita sakit. Seseorang yang berkuasa atau berpangkat pula berasa nikmat memegang kuasa dan pangkat selepas jatuh atau dipecat daripada kekuasaan serta jawatan.




Nikmat Kesihatan

Dua nikmat agung yang diabaikan kebanyakan orang ialah kesihatan dan masa lapang. (Hadis riwayat Imam Bukhari, Tirmidzi dan Ibn Majah)