UkhWaH FillAh.....

Isnin, 16 April 2012

Mengundi Dalam Pilihan Raya pun Ada Dosa & Pahala~ Jom jalankan tanggungjawab kita...tapi sebelum tu, baca ni dulu .....

 

 


Firman Allah S.W.T yg bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan bapak-bapak dan saudara-saudaramu itu pemimpin-pemimpinmu, jika mereka lebih mengutamakan kekafiran daripada keimanan, dan barangsiapa diantara kamu yg menjadikan mereka pemimpin-pemimpinmu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim" [Surah Attaubah : 29]

Rasulullah S.A.W bersabda : “Akan dilantik para pemimpin yang kamu setujui kebaikan sebahagian perbuatan mereka & kamu akan membantah kejahatan sebahagian perbuatan mereka. Sesiapa yang membenci perbuatan munkar maka dia terlepas dari dosa, sesiapa yang membantah maka dia selamat dari dosa, namun berdosa bagi sesiapa yang redha dan menuruti perbuatan munkar.” [Hadith Riwayat Muslim.]

JAWAPAN PROF MADYA DR MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN:

Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Sebagai seorang muslim kita wajar prihatin terhadap perkara-perkara yang seperti ini. Apatahlagi, persoalan seperti undian dalam pilihanraya yang walaupun kelihatan sangat ringkas prosesnya, tetapi mempunyai kesan yang besar terhadap pembentukan sesebuah negara.

Sekalipun kadang-kala ada perkara dalam sistem pilihanraya itu tidak memenuhi kehendak syarak, namun kepentingannya terhadap masa depan sesebuah negara itu tidak dapat dinafikan. Bahkan, jika diperhatikan sistem demokrasi jauh lebih baik dari segala sistem lain yang sedang diamalkan oleh kerajaan-kerajaan di dunia hari ini.

Melalui demokrasi, rakyat dapat bersuara dan memilih orang yang mereka redha sebagai pemimpin. Pemimpin pula tidak begitu berani melakukan kezaliman dan penyelewengan disebabkan mereka tahu rakyat mempunyai hak dalam menentukan kedudukan mereka. Ini lebih baik dari sistem autocracy.

Bahkan demokrasi yang adil akan lebih baik dari pentadbiran sesetengah para pemerintah dalam sejarah umat Islam pada zaman Umawiyyah, ‘Abbasiyyah dan selain mereka yang bersifat kuku besi dan bertindak tanpa menghormati hak rakyat. Untuk menjawab persoalan saudara tentang dosa dan pahala undian dalam pilihanraya, maka saya sebut perkara-perkara berikut;

1. Pada asasnya dalam Islam, setiap amalan kebaikan atau yang membawa kebaikan maka pengamalnya memperolehi pahala. Begitu juga, setiap amalan buruk atau yang membawa keburukan maka pengamalnya memperolehi dosa. Besar atau kecil pahala dan dosa itu, bergantung kepada besar atau kecil kesan kebaikan atau keburukan sesuatu amalan.

Maka, mengundi dalam pilihanraya boleh membawa kesan baik dan buruk kepada sesebuah masyarakat dan negara. Jika kesannya baik dan pengundi itu pula memang inginkan kebaikan tersebut, maka itu adalah amalan soleh. Jika kesan buruk dan pengundi tersebut memang inginkan kesan yang buruk itu, atau boleh menjangkanya, atau dia tidak peduli dengan buruk atau baik kesan undiannya itu, maka dia memperolehi dosa.

2. Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:

“Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. [Hadith Riwayat Malik dan al-Tirmizi]

Kata tokoh ulama salaf yang besar Sufyan bin ‘Uyainah (meninggal 198H)

“Hadis ini bermaksud kalimah di hadapan pemerintah, kalimat yang pertama (yang direhai Allah) ialah yang menghalang kezalimannya. Kalimat yang kedua (yang dimurkai Allah) ialah yang mendorong pemerintah melakukan kezaliman” [Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwadhi, 7/21, Beirut: Dar al-Fikr]

Ya, berdasarkan hadis ini, sekalipun pengucapnya tidak menyangka sebegitu besar kesan ucapannya, atau menganggapnya kecil, namun disebabkan kesan baik dan buruk dari ucapannya itu, maka dia mungkin mendapat pahala, ataupun dosa. Hal ini samalah seperti undian dalam pilihanraya.

3. Maka undi juga bagaikan satu kalimat, bahkan mungkin lebih, yang mana ia boleh memberikan kuasa kepada seorang pemimpin yang baik atau kuasa untuk pemimpin yang jahat atau zalim atau tidak bertanggungjawab. Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menyebut:

“Adakalanya seorang hamba Allah mengucapkan satu kalimah yang menyebabkan dia tergelincir ke dalam Neraka yang jaraknya dalamnya antara timur dan barat” [Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Kalimat itu konteks demokrasi adalah undi dalam pilihanraya. Seseorang hendaklah berfikir kesan undi yang diberikan kepada seseorang calon terhadap negara dan rakyat.

4. Kita hendaklah sedar bahawa undian itu membawa maksud bersetuju memberikan mandat kepada seseorang bagi sesuatu kepimpinan. Maka, sebelum mandat tersebut hendak diberikan, wajib kita memastikan samada dia berkelayakan atau tidak. Ini kerana Allah berfirman: (maksudnya)

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” [Surah An-Nisa’ ayat 58]

Memberikan undi kepada yang tidak berkelayakan adalah mengkhianati amanah.

5. Untuk menentukan kelayakan seseorang itu, maka secara umumnya hendaklah dilihat kepada dua ciri yang penting yang disebut oleh al-Quran al-Qawiy (kuat atau mampu) dan al-Amin (amanah atau bertakwa). Firman Allah (maksudnya)

“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” [Surah Al-Qasas:26]

Dua ciri ini hendaklah dilihat dalam kerangka jawatan yang hendak diberikan. Jika jawatan itu membabitkan kewangan umpamanya, maka kemampuan dalam pengurusan kewangan dan digabungkan dengan nilai amanah dalam diri calon yang dilantik.Begitulah juga jawatan dalam bidang-bidang yang lain.Maka dilihat kemampuan calon dalam tanggungjawab yang hendak diberikan dan nilai amanah dalam dirinya.

6. Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah:

“Hendak dipastikan orang yang terbaik baik setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah (kekuatan/kemampuan) dan al-Amanah…Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai jenis peperangan. al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia (sehingga mengabaikan Allah-pent.)”. [m/s 26. Kuwait: Dar al-Arqam]

7. Ertinya, sebelum seseorang itu mengundi, dia hendaklah memastikan individu yang diundi itu berkemampuan melaksanakan tanggungjawab bagi jawatan tersebut dan mempunyai nilai amanah dalam diri yang tinggi. Jika tidak, bererti dia memberikan undinya kepada orang yang zalim yang akan mengkhianati tanggungjawab. Apatahlagi, jika calon itu memang sudah ada rekod buruk dalam tanggungjawabnya. Juga, hendaklah dipastikan kesan undi itu tidak membawa keburukan kepada negara secara umumnya. Allah berfirman: (maksudnya)

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan disambar oleh api neraka sedangkan kamu tiada sebarang penolong pun selain dari Allah. kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” [Surah Hud:113]

8. Maka,kita tidak boleh mengundi seseorang calon hanya kerana hubungan keluarga, atau sahabat atau parti. Sebaliknya hendaklah atas kelayakan dan kesan undian itu. Justeru itu Nabi s.a.w tidak memberikan jawatan kepada Abu Zar kerana beliau tidak berkemampuan. Sekalipun Abu Zar seorang sahabat baginda yang soleh dan disayangi oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda:

“Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. [Hadith Riwayat Muslim]

9. Maka, undi dalam pilihanraya itu bukan sesuatu yang tiada nilai di sisi Islam. Sebaliknya, undi itu boleh menyebabkan seseorang mendapat pahala, ataupun mungkin mendapat dosa. Undilah yang berkelayakan dan memberikan kesan yang baik kepada negara dan rakyat

Cinta Itu Buta..??..

Betulkah Cinta itu Buta?....



Alam dan kehidupan ini  sebenarnya bermula dengan keindahan dan kemuliaan ,ketenangan dan kedamaian,kemurnia dan keharmonian.Oleh kerana kejadian manusia yang dibekalkan nafsu yang menggoda dan syaitan yang menghasut,maka keindahan ,ketenangan dan kebersamaan yang terbentuk  akhirnya terlerai sedikit demi sedikit.Maka bermulalah permusuhan,perseteruan kecelaruan dan keghairahan yang melampaui dalam kehidupan.Daripada ketenangan ketenteraman  dan kedamaian itulah timbulnya cinta kasih sesama manusia,terselitnya mahabbah dan Rahmat dikalangan mereka.Manakala daripada kegusaran,permusuhan dan perseteruan yang terjadi maka wujudnya kebencian dan dendam,terbentuknya hasad dan keangkuhan ,akhirnya berlakulah kekufuran dan kesyirikan,melainkan mereka yang benar-benar beriman dan di Rahmati Allah SWT.
     Cinta kasih,rahmat dan mahabbah adalah sifat hati yang hanya terdetik apabila kehidupan manusia dipenuhi dengan ketenteraman dan kebersamaan.Cinta kasih itu adalah suatu yang suci lagi mendamaikan.Ia satu perasaan dan kalimah yang cukup istimewa untuk digambarkan.Ia juga satu nikmat agung anugerah daripada Ilahi yang Maha Agung kepada Hamba-Nya.Terkadang cinta kasih yang bersemarak dijiwa menulikan pendengaran ,dan membutakan mata individu yang terkena sinarannya.Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah saw: “Cinta kasih mu kepada sesuatu perkara membuta dan menulikan engkau.”(Riwayat at-Tarmizi)
Jangan Beri Semua.
  Justeru lahirlah ungkapan dalam peribahasa melayu-Cinta itu buta…sehubungan itu Rasulullah saw member panduan dan bimbingan  kepada manusia bahawa manusia perlu mengawal atau mendidik jiwa mereka agar cinta kasih yang berputik dihati itu usah di berikan semuanya,perlu ditinggalkan sedikit kebencian dan sekelumit kemarahan,agar apa jua yang berlaku di kemudian hari masih terdapat ruang pemikiran serta gerak kemuliaan untuk meneruskan.Rasulullah saw bersabda: “Cintailah Kasihilah kekasih (orang yang engkau cintai itu) sekadarnya sahaja kerana suatu masa nanti mungkin ia akan menjadi orang yang engkau benci,bencilah seseorang itu  sekadarnya sahaja kerana mungkin suatu hari nanti ia akan menjadi orang yang engkau kasihi.”(Riwayat at-Tarmizi)
 Mencintai,merindui atau mengasihi manusia seharusnya sekadar-kadarnya sahaja  melainkan mencinta Allah dan Rasul-Nya maka perlu dengan sepenuh hati,jiwa dan perasaan.Itulah sebenarnya cinta hakiki yang abadi.
Cinta kasih merupakan satu sifat qalbi yang suci ,murni lagi tulus mulus.Manusia yang tiada panduan hidup menjadikan cinta kasih itu hanya terhad antara lelaki dan perempuan .Justeru timbullah kisah Udan dan Dara,lahir lah kasih Laila dan Majnun,bersemilah cinta Romeo dan Juliet,tidak lebih daripada itu.Sedangkan dalam Islam cinta kasih yang sebegitu hanya sebiji pasir di tepian pantai yang luas.Mutiara-mutiara indah di dasar lautan tidak pernah dijumpai manusia kerana tiada panduan memandu manusia ke dasar lautan itu.Hanya Islam memandu manusia kelembah kedamaian  dan ketenteraman serta menjelaskan kepada manusia bahawa cinta kasih itu bukan hanya semata-mata cinta kasih diantara manusia,malah cinta kasih juga boleh dipertautkan antara manusia dengan Khaliqnya(Penciptanya).

Darjat Cinta.

Cinta kasih antara manusia dengan Khaliqnya merupakan cinta kasih paling tinggi.Cinta kasihkan makhluk terhadap Khaliqnya merupakan tahap darjat cinta paling tulus,suci dan murni.Tiada cinta kasih melebihiNya.Tiada cinta kasih setara dengannya,tiada cinta kasih dapat menandinginya.
Berdasarkan pernyataan daripada Al-Quran dan al-Hadis mengenai al-Hub atau cinta kasih maka tentunya lebih mendamaikan dan mententeramkan jiwa.Islam membahagikan cinta kasih kepada beberapa kategori dan darjat sebagaimana juga syurga neraka yang mempunyai  beberapa darjat dan tabaqat.Darjat cinta kasih yang paling mulia dan suci ialah cinta Allah SWT.Allah sebagai al-Khaliq iaitu satu zat yang  Maha Menjadikan…memang seharusnya di cinta dan dikasihi.Cinta kasihkan Allah menjadikan jiwa tenteram dan aman damai.Individu yang cinta dan kasihkan Allah akan sentiasa menyebut namaNya,sebagaimana seorang individu menyinta manusia lain,nama kekasihnya sentiasa bermain dibibirnya.

Tenteramnya Jiwa.

   Sebagaimana tenteramnya Majnun kasihkan Laila,walaupun seluruh alam melihat si Majnun itu sememangnya Majnun(gila),namun ia tetap aman tenteram dengan cintanya itu,Begitu juga perumpamaan individu yang kasihkan Allah dan RasulNya,walaupun seluruh alam melihatnya sebagai manusia ketinggalan zaman atau tidak mengikuti perkembangan zaman,namun hanya dia yang mengetahui betapa indah dan murninya jiwa hidup bersama Tuhan Khaliqnya.

Rasulullah saw mengajarkan  kita doa,
Maksudnya.;Wahai Allah  kurniakan kami cinta kasih padamu,cinta kasih kepada orang-orang yang mengasihiMu,dan cinta kasih kepada setiap amalan yang mendekatkan kami kepadaMU.;
 Kasih cintakan Allah SWT bermaksud manusia menyedari dan menginsafi dirinya sebagai makhluk manusia dan Tuhannya,Allah sebagai Khaliqnya.Manusia mengerti bahawa dirinya sentiasa berhajat kepada pimpinan dan inayah Allah SWT.Manusia memahami bahawa dia sentiasa mengharapkan bimbingan Rahmat dan RahimNya.Cinta Allah menjauhkan manusia daripada sifat sombong,angkuh dan bodoh.

Tip Dapatkan Cinta Ilahi.

*Ikutlah atau berusaha  mengikuti Sunnah Rasulullah saw daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar urusan.
*Jadilah insane yang soleh(baik) dan juga Musleh (menjadi agen kepada kebaikan)
*Berlaku adil dalam setiap perkara samaada sebagai anak,isteri,suami,ibu dan bapa.
*Menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dan bimbingan dalam kehidupan.
Hasil tulisan
Dr Nik Yusri Musa..semoga sentiasa mendapat keberkataan Ilahi..aminn…