UkhWaH FillAh.....

Sabtu, 21 Julai 2012

Hadis Palsu Solat Terawikh Dan Keterangan Hadis Soheh Solat Terawikh.




Assalamualaikum warahmatullah..


Suatu masa dahulu hadith tentang kelebihan solat tarawih yang diriwayatkan dari Sayyidina ’Ali RA cukup popular. Barangkali kerana tersebarnya kitab Durrah al-Nasihin dan terjemahan Melayunya yang memuatkan hadith tersebut di dalamnya.

Antara teksnya; daripada Sayyidina Ali RA beliau telah menanyakan kepada Rasulullah SAW tentang fadhilat Solat Tarawih pada bulan Ramadhan. Jawab Rasulullah SAW tentang fadhilat tarawih sebagai berikut, mulai dari malam pertama sampai malam 30 Ramadhan:

1. Malam Pertama: Diberi balasan seperti bayi baru dilahirkan.
2. Malam Kedua: Diampuni Allah dosanya dan bagi ibu-bapanya jika keduanya mukmin.
3. Malam Ketiga: Diseru oleh malaikat di bawah Arasy dan dengan solat tersebut diampuni Allah dosanya yang telah lalu.
4. Malam Keempat: Dibalas Allah seperti membaca kitab Taurat, Injil, Zabur, dan Quran.
5. Malam Kelima: Kemudian dikurniai Allah seolah-olah sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah, dan Masjidil Aqsa.
6. Malam Keenam: Dikurnia Allah seolah-olah dia tawaf di Baitul Makmur dan dipintakan ampun oleh segala batu dan pasir.
7. Malam Ketujuh: Dikurniai Allah seolah-olah ia berjumpa dengan Nabi Musa AS dan membantu Musa melawan Fir’aun dan Haman…
8. … demikian seterusnya hingga akhir malam ke-30.

Pengarang Durrah al-Nasihin hanya menyebut sumber petikannya daripada kitab Majalis. Bagaimanapun, hadith ini adalah hadith palsu, malah tiada sumber asal yang muktamad bagi hadith ini sebagaimana yang disebutkan oleh pakar-pakar hadith. Antaranya seperti yang disebut oleh Dr. Ahmad Lutfi Fathullah dalam tesisnya (Ph.D.), Takhrij Hadith-hadith Durrah al-Nasihin. Dalam Fatwa Mufti Kerajaan Brunei (1999) juga menyatakan ianya tiada di dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah, namun ada diriwayatkan seumpamanya di dalam kitab-kitab Syiah seperti kitab Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi dan Wasa’il al-Syi’ah oleh al-Hurr al-’Amili. Dan rujukan mereka tidak dapat dipegang oleh kita.

Maka bagi menggantikan hadith palsu tersebut saya telah menemukan empat buah hadith yang sabit mengenai kelebihan solat tarawih ini. Iaitu sepertimana berikut;

1. Diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يرغب في قيام رمضان من غير أن يأمرهم بعزيمة ثم يقول : من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه. رواه البخاري ومسلم وأبو داود والترمذي والنسائي.
Terjemahan;
Daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW pernah menggalakkan sahabatnya berqiam Ramadhan tanpa menyuruh mereka dengan kesungguhan (yang menunjukkan wajib), kemudian sabdanya: “Barangsiapa yang berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan redha dan ganjaran Allah) akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”.

(HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

2. Kembali sepertimana hari ibunya melahirkannya.

حديث عبد الرحمن بن عوف: من صامه وقامه إيمانا واحتسابا خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه. رواه النسائي في الكبرى (11،295) والصغرى (2199)، وأحمد (1618، 1645) وابن خزيمة (2015) وابن ماجه (1331) والبيهقي في الشعب (3462).

Terjemahan;
Daripada ‘Abdur Rahman bin ‘Awf, sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dan berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, ia akan keluar daripada dosa-dosanya sepertimana hari ibunya melahirkannya”.

(HR al-Nasa’i, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Majah dan al-Bayhaqi)

3. Ditulis dari kalangan para siddiqin dan syuhada’.

عن عمرو بن مرة الجهني رضي الله عنه قال : جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، أرأيت إن شهدت أن لا إله إلا الله وأنك رسول الله وصليت الصلوات الخمس وأديت الزكاة وصمت رمضان وقمته، فممن أنا ؟ قال : من الصديقين والشهداء. رواه البزار وابن خزيمة وابن حبان في صحيحيهما واللفظ لابن حبان.

Terjemahan;
Daripada ‘Amru bin Murrah al-Juhani RA katanya: Datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu katanya: Wahai Rasulullah, apakah pendapat tuan sekiranya saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya tuan adalah utusan Allah, dan saya bersolat lima waktu, menunaikan zakat serta berpuasa bulan Ramadhan dan berqiam Ramadhan, maka dari golongan siapakah saya ini? Jawab baginda: ”Dari kalangan para siddiqin dan syuhada’”.

(HR al-Bazzar, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)

4. Ditulis baginya pahala seumpama berqiamullail.

حديث أبي ذر : من قام مع الإمام حتى ينصرف كتب له قيام ليلة. رواه الترمذي وقال : هذا حديث حسن صحيح -791.

Terjemahan;
Hadith Abu Zar RA, sabda Nabi SAW: “Barangsiapa berqiam (Ramadhan) bersama-sama imam sehingga ia selesai, akan ditulis baginya (ganjaran) seumpama berqiamullail”.

(HR al-Tirmizi)

Demikianlah fadhilat-fadhilat yang besar bagi orang yang mengerjakan solat tarawih ini. Kelebihan-kelebihan tersebut tidak tertentu pada malam tertentu sahaja, bahkan ianya adalah umum bagi solat tarawih sepanjang bulan Ramadhan. Semuanya dapat diperolehi dengan kemurahan rahmat Allah Taala bagi mereka yang bersungguh-sungguh mengerjakannya. Mudah-mudahan fadhilat-fadhilat solat tarawih ini dapat tersebar secara lebih luas menggantikan hadith palsu mengenainya.

Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2010/09/fadhilat-fadhilat-sahih-bagi-solat.html

http://jomfaham.blogspot.com/




DALIL SAHIH MENGENAI SOLAT TARAWIH

1. Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

“مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.”

“Sesiapa mengerjakan sembahyang malam dalam bulan Ramadhan, sedang ia beriman serta mengharapkan rahmat Allah Taala, maka ia akan diampunkan dosanya yang telah lalu”
(Hadith Sahih, riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a. (Sahih Muslim – bi Syarh al-Nawawi, 6:39))

Dan mari kita lihat bagaimana asal mulanya sembahyang Tarawih ini melalui hadith Sahih di bawah:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ وَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلَاتِهِ فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ فَصَلَّى فَصَلَّوْا مَعَهُ فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنْ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى فَصَلَّوْا بِصَلَاتِهِ فَلَمَّا كَانَتْ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ حَتَّى خَرَجَ لِصَلَاةِ الصُّبْحِ فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ مَكَانُكُمْ وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ. (رواه البخاري)

“Dari `Aisyah r.a., katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. – pada suatu malam (dalam bulan Ramadhan) ketika jauh malam telah keluar (1) lalu sembahyang di masjid dengan diikuti oleh beberapa orang lelaki sebagai makmum. Pada keesokan harinya terhebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu mereka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua) serta mereka bersembahyanglah bersama-sama Baginda.

Pada keesokan harinya terhebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu bertambah ramai orang-orang hadir di masjid pada malam yang ketiga. Rasulullah s.a.w. pun keluar ke masjid lalu sembahyang dengan diikuti oleh sidang jamaah.

Setelah sampai malam yang keempat, penuh sesaklah masjid dengan sidang jamaah (tetapi Baginda tidak datang) sehinggalah Baginda keluar ke masjid untuk mengerjakan sembahyang subuh. Setelah selesai sembahyang, Baginda mengadap orang ramai lalu (memulakan ucapannya dengan memuji Allah Taala dan) mengucap syahadah, kemudian Baginda (menerangkan sebabnya Baginda tidak datang ke masjid untuk mengerjakan sembahyang tarawih bersama), sabdanya:

“Amma Ba’du, sebenarnya tidak terlindung kepada Aku tentang kedudukan kamu (sebagai orang-orang yang taat dan suka berbuat kebajikan), tetapi Aku bimbang bahawa (sembahyang tarawih) itu akan difardhukan atas kamu(2), maka dengan itu kamu tidak terdaya mengerjakannya.”

(Imam al-Zuhri, salah seorang rawi hadith ini berkata): “Maka wafatlah Rasulullah S.A.W sedang perkara (sembahyang tarawih) itu berkeadaan demikian” (tidak dikerjakan dengan berjamaah).(3)

(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari)

Semenjak itu sembahyang tarawih tidak dikerjakan dengan berjamaah di masjid tetapi masing-masing mengerjakannya dengan bersendirian, sama ada di rumah atau di masjid.

Rujukan:
(1) Rumah Baginda s.a.w. berdekatan dengan masjid.
(2) Yakni Baginda bimbang akan turunnya wahyu yang mewajibkannya. Dalam sebuah hadith yang lain Baginda menyuruh orang ramai supaya mengerjakan sembahyang sunat pada waktu malam di rumah masing-masing.
(3) Fath al-Bari (5:158)

Kemudian, situasi ini berjalan terus sehinggalah ke zaman Saidina Umar R.A, barulah sembahyang tarawih itu dikerjakan dengan berjamaah di masjid menurut seorang imam yang telah dilantik oleh Saidina Umar sendiri seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ قَالَ خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلَاتِهِ الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلَاءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلَاةِ قَارِئِهِمْ قَالَ عُمَرُ نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ. (رواه البخاري)

“Dari Abdul Rahman bin Abd al-Qari, katanya: Pada suatu malam dalam bulan Ramadhan, saya mengiringi Umar bin al-Khattab ke masjid, tiba-tiba (kami) dapati orang ramai (di situ) berpecah-pecah kepada beberapa kumpulan yang berasingan, ada orang yang sembahyang seorang diri, ada pula yang sembahyang lalu diikuti oleh beberapa orang.

(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata: “Aku fikir, kalau aku kumpulkan mereka ini semuanya berimamkan seorang imam, tentulah amalan itu amatlah baiknya.”

Kemudian ia mengambil keputusan lalu mengumpulkan mereka semuanya berimamkan Ubai bin Kaab.

Setelah itu, saya mengiringi Saidina Umar pada suatu malam yang lain (pergi ke masjid), (pada ketika itu) orang ramai sedang sembahyang berimamkan imam mereka (yang tersebut).

(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata: “Amalan ini satu perbuatan bid’ah yang baik …”(1)

(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari)

Menurut huraian ulama’ rahimahullah, bahawa kalimah “bid’ah yang baik” yang disebutkan oleh Saidina Umar r.a., ialah arahannya mengenai “sembahyang tarawih dengan berjamaah” setelah ia menjadi khalifah Islam.

Dalam hadith ini diterangkan: Pada suatu malam Saidina Umar bersama-sama dengan seorang pengiringnya telah pergi ke masjid Nabi s.a.w. di Madinah, lalu dilihatnya orang ramai sedang mengerjakan sembahyang tarawih dengan berpecah-pecah kepada beberapa kelompok di sana-sini. Ada yang sembahyang seorang diri, ada dua tiga orang yang menurut seorang imam dan ada pula yang lebih daripada itu menurut imam yang lain.

Melihatkan yang demikian, Saidina Umar pun mengarahkan mereka semuanya supaya menurut seorang imam yang dilantik olehnya mulai malam itu dan supaya mereka meneruskannya di sepanjang-panjang bulan Ramadhan.

Menurut huraian ulama’ Saidina Umar R.A,(2) bertindak demikian setelah ia berijtihad dan beristinbat berdasarkan amalan Rasulullah s.a.w.

Pertama – Rasulullah s.a.w. pernah mengerjakan sembahyang tarawih dengan berjamaah di masjid.

Kedua – Sungguhpun Baginda mengerjakannya dengan berjamaah selama tiga malam sahaja lalu memberitahu kepada orang ramai supaya masing-masing mengerjakannya dengan bersendirian di rumah dan Baginda sendiri juga mengerjakannya di rumah sehingga akhir hayatnya – tetapi Baginda telah menerangkan sebabnya kepada umum iaitu Baginda “bimbang akan turun wahyu yang mewajibkan sembahyang tarawih itu” jika Baginda terus menerus mengerjakannya dengan berjamaah di masjid bersama sama dengan mereka.

Berdasarkan hakikat inilah Saidina Umar r.a., berijtihad mengarahkan supaya sembahyang tarawih dikerjakan semula dengan berjamaah, kerana perkara yang dibimbangkan oleh Rasulullah s.a.w. dahulu tidak akan berlaku. Kerana setelah Baginda wafat, tidak akan turun wahyu lagi – yang mewajibkannya.

Saidina Umar mengaku bahawa arahannya itu “bid’ah” tetapi ia “bid’ah yang baik” (bid’ah hasanah) kerana dapat menyatupadukan umat Islam dan kerana itulah ia diterima dengan ijma’ oleh sahabat-sahabat Nabi yang ada pada zamannya serta diwarisi oleh umat Islam turun temurun.”

Rujukan:
(1) Fath al-Bari (5:155) dan Nail al-A utar (4:56).
(2) Fath al-Bari (5:156).

di ambil dari.. http://alfatih.presint15.com/2010/08/solat-sunat-tarawih-dalildalil-dan-panduan-mengerjakannya/