UkhWaH FillAh.....

Isnin, 27 Februari 2012

ReDhA DengaN Allah SWT....




Suatu hari al-Imam Sufyan al-Thawri berdoa: “Ya Allah aku memohon keredaan-Mu.” Tiba-tiba Rabi’ah menegur beliau: “Apakah engkau tidak malu meminta reda-Nya sedangkan engkau sendiri belum reda kepada-Nya?” Lantas Sufyan menangis sambil mengucapkan lafaz istighfar berulang-ulang.
Rabi’ah pernah ditanya oleh seorang muridnya: “Bilakah seseorang itu reda kepada Allah?” Beliau menjawab: “Apabila kegembiraannya datang ketika dia ditimpa musibah sama seperti ketika dia mendapat nikmat.” Begitulah dalamnya ‘hubungan hati’ seorang hamba kepada Allah SWT. Kadang-kadang kita tak mahu sesiapapun terguris hatinya oleh tangan kita, tetapi pernahkah kita terfikir siapakah yang sesungguhnya paling banyak disakiti oleh perbuatan kita?
 Allah SWT Maha Sabar dan Maha Lembut kepada hamba-hamba-Nya, berulang kali kesalahan yang sama dilakukan oleh seorang hamba namun Dia Maha Pengampun, Penyayang dan Pemurah. Dosa-dosa kita dibalas dengan kurniaan nikmat dan limpahan rahmat.
Hubungan hati seorang hamba dengan Allah SWT terjalin dengan ikatan reda. Reda kepada Allah SWT bermakna menerima qadak dan qadar yang ditentukan oleh-Nya ke atas diri kita. Umar bin al-Khattab pernah berkata: “Aku tidak kisah bagaimana keadaanku pada waktu pagi dan petang, sama ada dalam kesulitan atau kelapangan.” Di dalam hadis qudsi Allah SWT berfirman melalui sabda baginda SAW yang bermaksud: “Mengapakah para kekasih-Ku bersedih terhadap dunia? Sesungguhnya sedih kerana urusan dunia dapat menghilangkan manisnya bermunajat kepada-Ku daripada hati mereka.”

Tidakkah kita malu merungut atas ketentuan Allah SWT? Tusukan-tusukan duri di dalam hati sememangnya menyakitkan, melalui pergaulan kita dengan orang lain tentunya ada yang mengecewakan, melukakan bahkan mencabar kesabaran. Tidakkah kita sedar semua yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT? Kena marah suami, dengar leteran isteri, kena sindiran bos, melayan kerenah anak-anak, masalah orang gaji, ibu bapa yang uzur, kawan-kawan yang dengki dan pelbagai masalah dalam pergaulan yang memberi tekanan kepada jiwa dan perasaan kita.
Mengapa seorang mukmin dituntut untuk bersikap reda? Hakikatnya syariat Allah SWT disusun untuk mengatur perjalanan hidup manusia. Allah SWT menyediakan ubat untuk manusia hidup bahagia. Tanpa ubat ini mereka akan sakit dan tertekan oleh cabaran duniawi yang pasti takkan sanggup mereka tanggung. Ubat itu adalah ibadah kepada Allah SWT. Benarkah ibadah menjadi jalan keluar bagi masalah tekanan jiwa?
Ibadah dalam Islam meliputi dua aspek yang saling berpengaruh antara satu dengan yang lainnya. Ibadah zahir seperti sembahyang, puasa dan haji. Dan ibadah batin atau hati iaitu melalui sifat reda, sabar, tawakal, syukur, malu, takut dan harap kepada Allah SWT. Tanpa ibadah batin seseorang akan merasa kekosongan dalam melakukan sembahyang atau terpaksa berpuasa dan menunjuk-nunjuk ketika mengeluarkan zakat. Tiada kenikmatan dan kemanisan jika melakukan ibadah zahir tanpa disertai ibadah batin. Zahir akan berkualiti jika batin turut berkualiti. Demikian juga halnya dengan kekuatan tubuh badan yang pada hakikatnya bergantung kepada kekuatan hati. Pakar ahli psikologi banyak melakukan kajian tentang mentaliti sihat boleh memberi kesan kepada kesihatan jasmani.
Apabila jiwa reda, hati lapang dan wajah berseri, segala sesuatu pasti akan dapat terkawal dengan baik. Melalui ibadat hati ketenteraman akan dirasa, tetapi ia tidak semudah yang dibayangkan. Ia perlu kepada mujahadah dan mengikut proses tarbiyah ruhiyah yang jalannya mendaki tinggi. Sesungguhnya reda kepada Allah SWT adalah satu pintu daripada pintu-pintu cinta kepada Allah SWT. Bukankah seorang kekasih sentiasa reda ke atas perbuatan kekasihnya?
Reda bukan bermakna menyerah dan berputus asa kepada takdir, tidak mahu berusaha dan berikhtiar untuk mendapat kebaikan dalam kehidupan seterusnya. Sifat begini sungguh bertentangan dengan hakikat reda yang diamalkan oleh Baginda SAW. Sepertimana perkataan Syaikhul Islam Ibnu Taymiyah: ”Rasulullah SAW meminta rasa reda sesudah berlaku takdir kerana pada saat itu telah demikian nyata hakikat reda, sedangkan reda sebelum berlakunya takdir yang sedemikian itu hanyalah tekad dan keinginan untuk reda apabila takdir berlaku kepada diri baginda SAW nanti. Kerana sesungguhnya hakikat reda adalah sesudah berlakunya takdir yang ditentukan.”
Reda juga bermakna tidak menentang apa yang ditentukan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya, bahkan tidak sedikitpun mengeluh atau mempunyai keinginan terhadap sesuatupun selain apa yang telah ditakdirkan oleh-Nya. Umar bin Abdul Aziz pernah berdoa: ”Ya Allah jadikanlah aku reda dengan qadak-Mu dan berikanlah keberkatan di dalam qadar-Mu sehingga aku tidak suka mendahulukan sesuatu yang Engkau akhirkan dan mengakhirkan sesuatu yang Engkau dahulukan.”
Mengapa seorang hamba sanggup mencela Tuhannya dengan mengatakan: ”Alangkah baiknya kalau Tuhanku tidak mentakdirkan ini, alangkah baiknya kalau hal ini tidak terjadi.” Bagaimana boleh dikatakan ia reda jika dia mencela sesuatu pada penciptaan Allah sedangkan Allah tidak mencela ciptaan-Nya sendiri.
Cukuplah bagi kita peringatan daripada al-Quran yang bermaksud: ”Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu.” Surah al-Baqarah ayat: 216

sunber.Dr Juanda Jaya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan