Firman Allah S.W.T yg bermaksud : "Wahai orang-orang yang
beriman, janganlah kamu jadikan bapak-bapak dan saudara-saudaramu itu
pemimpin-pemimpinmu, jika mereka lebih mengutamakan kekafiran daripada
keimanan, dan barangsiapa diantara kamu yg menjadikan mereka
pemimpin-pemimpinmu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim" [Surah
Attaubah : 29]
Rasulullah S.A.W bersabda : “Akan
dilantik para pemimpin yang kamu setujui kebaikan sebahagian perbuatan
mereka & kamu akan membantah kejahatan sebahagian perbuatan mereka.
Sesiapa yang membenci perbuatan munkar maka dia terlepas dari dosa,
sesiapa yang membantah maka dia selamat dari dosa, namun berdosa bagi
sesiapa yang redha dan menuruti perbuatan munkar.” [Hadith Riwayat
Muslim.]
JAWAPAN PROF MADYA DR MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN:
Terima
kasih kepada saudara yang bertanya. Sebagai seorang muslim kita wajar
prihatin terhadap perkara-perkara yang seperti ini. Apatahlagi,
persoalan seperti undian dalam pilihanraya yang walaupun kelihatan
sangat ringkas prosesnya, tetapi mempunyai kesan yang besar terhadap
pembentukan sesebuah negara.
Sekalipun kadang-kala ada
perkara dalam sistem pilihanraya itu tidak memenuhi kehendak syarak,
namun kepentingannya terhadap masa depan sesebuah negara itu tidak dapat
dinafikan. Bahkan, jika diperhatikan sistem demokrasi jauh lebih baik
dari segala sistem lain yang sedang diamalkan oleh kerajaan-kerajaan di
dunia hari ini.
Melalui demokrasi, rakyat dapat bersuara
dan memilih orang yang mereka redha sebagai pemimpin. Pemimpin pula
tidak begitu berani melakukan kezaliman dan penyelewengan disebabkan
mereka tahu rakyat mempunyai hak dalam menentukan kedudukan mereka. Ini
lebih baik dari sistem
autocracy.
Bahkan
demokrasi yang adil akan lebih baik dari pentadbiran sesetengah para
pemerintah dalam sejarah umat Islam pada zaman Umawiyyah, ‘Abbasiyyah
dan selain mereka yang bersifat kuku besi dan bertindak tanpa
menghormati hak rakyat. Untuk menjawab persoalan saudara tentang dosa
dan pahala undian dalam pilihanraya, maka saya sebut perkara-perkara
berikut;
1. Pada asasnya dalam Islam, setiap amalan
kebaikan atau yang membawa kebaikan maka pengamalnya memperolehi pahala.
Begitu juga, setiap amalan buruk atau yang membawa keburukan maka
pengamalnya memperolehi dosa. Besar atau kecil pahala dan dosa itu,
bergantung kepada besar atau kecil kesan kebaikan atau keburukan sesuatu
amalan.
Maka, mengundi dalam pilihanraya boleh membawa
kesan baik dan buruk kepada sesebuah masyarakat dan negara. Jika
kesannya baik dan pengundi itu pula memang inginkan kebaikan tersebut,
maka itu adalah amalan soleh. Jika kesan buruk dan pengundi tersebut
memang inginkan kesan yang buruk itu, atau boleh menjangkanya, atau dia
tidak peduli dengan buruk atau baik kesan undiannya itu, maka dia
memperolehi dosa.
2. Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:
“Adakalanya
seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah,
padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian lalu
dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu
Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat
yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap
sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga
hari dia bertemu Allah”. [Hadith Riwayat Malik dan al-Tirmizi]
Kata tokoh ulama salaf yang besar Sufyan bin ‘Uyainah (meninggal 198H)
“Hadis
ini bermaksud kalimah di hadapan pemerintah, kalimat yang pertama
(yang direhai Allah) ialah yang menghalang kezalimannya. Kalimat yang
kedua (yang dimurkai Allah) ialah yang mendorong pemerintah melakukan
kezaliman” [Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwadhi, 7/21, Beirut: Dar
al-Fikr]
Ya, berdasarkan hadis ini, sekalipun
pengucapnya tidak menyangka sebegitu besar kesan ucapannya, atau
menganggapnya kecil, namun disebabkan kesan baik dan buruk dari
ucapannya itu, maka dia mungkin mendapat pahala, ataupun dosa. Hal ini
samalah seperti undian dalam pilihanraya.
3. Maka undi
juga bagaikan satu kalimat, bahkan mungkin lebih, yang mana ia boleh
memberikan kuasa kepada seorang pemimpin yang baik atau kuasa untuk
pemimpin yang jahat atau zalim atau tidak bertanggungjawab. Dalam hadis
yang lain Nabi s.a.w menyebut:
“Adakalanya seorang
hamba Allah mengucapkan satu kalimah yang menyebabkan dia tergelincir ke
dalam Neraka yang jaraknya dalamnya antara timur dan barat”
[Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Kalimat itu
konteks demokrasi adalah undi dalam pilihanraya. Seseorang hendaklah
berfikir kesan undi yang diberikan kepada seseorang calon terhadap
negara dan rakyat.
4. Kita hendaklah sedar bahawa undian
itu membawa maksud bersetuju memberikan mandat kepada seseorang bagi
sesuatu kepimpinan. Maka, sebelum mandat tersebut hendak diberikan,
wajib kita memastikan samada dia berkelayakan atau tidak. Ini kerana
Allah berfirman: (maksudnya)
“Sesungguhnya Allah
menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan
apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum
dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang
sebaik-baiknya kepadamu.” [Surah An-Nisa’ ayat 58]
Memberikan undi kepada yang tidak berkelayakan adalah mengkhianati amanah.
5.
Untuk menentukan kelayakan seseorang itu, maka secara umumnya
hendaklah dilihat kepada dua ciri yang penting yang disebut oleh
al-Quran al-Qawiy (kuat atau mampu) dan al-Amin (amanah atau bertakwa).
Firman Allah (maksudnya)
“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” [Surah Al-Qasas:26]
Dua
ciri ini hendaklah dilihat dalam kerangka jawatan yang hendak
diberikan. Jika jawatan itu membabitkan kewangan umpamanya, maka
kemampuan dalam pengurusan kewangan dan digabungkan dengan nilai amanah
dalam diri calon yang dilantik.Begitulah juga jawatan dalam
bidang-bidang yang lain.Maka dilihat kemampuan calon dalam tanggungjawab
yang hendak diberikan dan nilai amanah dalam dirinya.
6. Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah:
“Hendak
dipastikan orang yang terbaik baik setiap jawatan, kerana sesungguhnya
kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah
(kekuatan/kemampuan) dan al-Amanah…Al-Quwwah dinilai pada setiap
kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan
merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya
peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan
dalam berbagai jenis peperangan. al-Quwwah dalam kehakiman manusia
merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh
al-Quran dan al-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan
amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual
ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia
(sehingga mengabaikan Allah-pent.)”. [m/s 26. Kuwait: Dar al-Arqam]
7.
Ertinya, sebelum seseorang itu mengundi, dia hendaklah memastikan
individu yang diundi itu berkemampuan melaksanakan tanggungjawab bagi
jawatan tersebut dan mempunyai nilai amanah dalam diri yang tinggi. Jika
tidak, bererti dia memberikan undinya kepada orang yang zalim yang
akan mengkhianati tanggungjawab. Apatahlagi, jika calon itu memang
sudah ada rekod buruk dalam tanggungjawabnya. Juga, hendaklah
dipastikan kesan undi itu tidak membawa keburukan kepada negara secara
umumnya. Allah berfirman: (maksudnya)
“Dan janganlah
kamu cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan
disambar oleh api neraka sedangkan kamu tiada sebarang penolong pun
selain dari Allah. kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu
tidak akan mendapat pertolongan” [Surah Hud:113]
8.
Maka,kita tidak boleh mengundi seseorang calon hanya kerana hubungan
keluarga, atau sahabat atau parti. Sebaliknya hendaklah atas kelayakan
dan kesan undian itu. Justeru itu Nabi s.a.w tidak memberikan jawatan
kepada Abu Zar kerana beliau tidak berkemampuan. Sekalipun Abu Zar
seorang sahabat baginda yang soleh dan disayangi oleh Nabi s.a.w.
Baginda bersabda:
“Aku bertanya: “Wahai Rasulullah!
Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda:
“Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu
adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan
penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan
menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. [Hadith Riwayat Muslim]
9.
Maka, undi dalam pilihanraya itu bukan sesuatu yang tiada nilai di
sisi Islam. Sebaliknya, undi itu boleh menyebabkan seseorang mendapat
pahala, ataupun mungkin mendapat dosa. Undilah yang berkelayakan dan
memberikan kesan yang baik kepada negara dan rakyat