UkhWaH FillAh.....

Rabu, 7 Mac 2012

PeRaNaN SeoRanG Ayah....


 
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih...

Firman Allah SWT. dalam surah At-Tahnim ayat 6:
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api Neraka yang mana bahan apinya terdiri daripada manusia dan batu-batu”.
 
Seorang bapa yang bertanggungjawab akan memastikan bahawa dirinya, isteri dan anak-anaknya akan terselamat daripada seksaan api neraka.

Sabda Rasulullah SAW  maksudnya : “Taatilah kepada Allah dan takutlah berbuat maksiat kepada Allah dan suruhlah anak-anak kamu untuk mentaati perintah-perintah dan menjauhi larangan-larangan Allah. Kerana hal ini akan memelihara mereka dan kamu dan api neraka”.

Di dalam al-Quran terdapat satu surah yang bernama Surah Luqman. Surah ini memaparkan satu kisah mengenai Luqman yang dikurniakan hikmah kebijaksanaan dan rahsia mengenal Allah SWT., membanteras syrik, mendorong supaya berakhlak mulia dan menjauhi daripada akhlak tercela yang merupakan tujuan utama mengapa al- Quran diturunkan.

Dalam Surah Luqman didapati lapan ayat berturut-turut secara khusus memperkatakan kisah Luqman, dimana tajuk ayat tersebut merupakan isi pengajaran Luqman kepada anaknya.

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata) : "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalas-Nya) ; kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuan-Nya ; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi."
(Surah Luqman ayat 16)

Dalam ayat yang lain Allah SWT menceritakan nasihat Luqman kepada anaknya yang bermaksud : "Wahai anak kesayanganku, dirikan solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya." (Surah Luqman ayat 17)

Dari ayat-ayat surah Luqman dapat diklasifikasi kepada tiga asas utama iaitu Asas Aqidah, Asas Ibadah dan Asas Akhlak.

Pertama :  Asas Aqidah.

Persoalan aqidah merupakan isu terpenting dalam kehidupan muslim . Ini disebabkan aqidah menurut Islam adalah asas bagi binaan Islam pada keseluruhannya. Daripada aspek yang lain ia juga dapat disifatkan sebagai benteng yang paling teguh bagi menjaga dan mengawasi segala bentuk penyelewengan.

Dewasa ini didapati beberapa bentuk penyelewengan berlaku sama ada dari segi pemikiran, percakapan lebih-lebih lagi tingkah laku yang semuanya berpunca daripada ketidakfahaman mereka terhadap asas aqidah Islam  secara mendalam, sedangkan kefahaman tentang aqidah itu merupakan satu tuntutan untuk melahirkan keyakinan dan penghayatan Islam secara menyeluruh.

Asas aqidah yang ditekankan di sini adalah mentauhidkan Allah SWT. Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan satu yang lain),sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Surah Luqman ayat 13)

Dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Luqman memulai nasihat kepada anaknya supaya menjauhkan diri daripada syirik kepada Allah, kerana jiwa yang suci harus bersih daripada sebarang kerosakan dan kesesatan. Di antara punca kerosakan aqidah adalah syirik. Oleh itu ia hendaklah dijaga daripada syirik agar aqidah sentiasa berada dalam keadaan baik. Kerana kesucian dan kemurniaan aqidah itulah punca segala amalan yang baik.

Syirik adalah sebesar-besar dosa yang dilakukan oleh seseorang kepada Allah SWT. Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa (syirik) mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar."

Kedua : Asas Ibadah.

Konsep ibadah dalam Islam bukan hanya terbatas kepada soal-soal ta'abbudi yang dikenali seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Malah ibadah mempunyai erti yang sangat luas dan mendalam. Ibadah merupakan pengabdian sepenuhnya dan berfungsi menjalinkan hubungan yang berterusan antara hamba dengan Allah. Hubungan ini sebenarnya yang menjadi asas utama pendidikan Islam pada keseluruhannya.

Ibadah dalam Islam merangkumi keseluruhan kehidupan manusia iaitu hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam dan makhluk Allah yang lain. Setiap perkara yang kita lakukan dan tinggalkan semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaan-Nya akan dikira sebagai beribadah kepada Allah SWT.

Ketiga : Asas Akhlak.

Misi Islam sebenarnya ialah pengarahan manusia supaya mencapai nilai-nilai kemanusiaan yang luhur, yang sesuai dengan kemuliaan manusia. Islam sangat mementingkan budi pekerti untuk mewujudkan unsur-unsur kekuatan dan peribadi yang baik, yang akan dapat mempertingkatkan taraf kehidupan di dunia serta keredhaan Allah SWT di sebalik kehidupan sekarang ini.

Secara ringkasnya di antara peranan bapa mengikut perspektif Islam adalah seperti berikut :

1. Bapa adalah ketua keluarga, pelindung isteri dan anak-anak. Sebagai pelindung keluaiga dan ketua unit masyarakat yang paling kecil ini.

2. Seorang bapa berkewajipan mengawal, membimbing, menentukan tugas, menyelaraskan kelurgaa, berusaha mencari keperluan hidup keluarga dan berusaha menyediakan faktor-faktor kebahagiaan dan keselamatan keluarganya.

3. Bapa juga wajib menyediakan rumah kediaman, pakaian dan makan minum keluarga. Dia wajib mengajar anak isterinya dengan hukum-hukum agama.

4. Pentadbiran seorang bapa  di dalam rumahtangga hendaklah berdasarkan sifat rahmah iatu kasihan belas, baik, adil, berakhlak dan contoh yang baik kerana dia bertanggungjawab di hadapan Allah S.WT. terhadap keluarganya.

Sahabat yang dikasihi,
Secara keseluruhannya peningkatan nilai murni di dalam kehidupan isteri dan anak-anak bergantung kepada kualiti seorang suami atau bapa. Jika seorang bapa menjadikan Islam sebagai teras kehidupan dan menghayati nilai-nilai akhlak Islam maka keseluruhan ahli keluarganya akan terpimpin di atas jalan kebenaran, sebaliknya jika seorang bapa mempunyai jiwa yang rapuh dan tidak ada matlamat hidup yang jelas maka keluarganya akan hidup terumbang-ambing dan akan tersesat jalan. Oleh itu hendaklah setiap bapa memainkan peranan yang pro-aktif dan agresif untuk mendidik anak-anaknya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah supaya mereka nantinya dapat mendoakannya ketika dia kembali kepada Allah SWT.


Allah Ta’ala berfirman:
إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ
“Sesungguhnya harta-harta kalian dan anak-anak kalian tidak lain kecuali ujian.” (QS. At-Taghabun: 15)

Abdullah bin Umar radhiallahu anhuma berkata: Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ الْإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي أَهْلِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِي مَالِ سَيِّدِهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dimintai pertanggungjawaban atas yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin yang akan diminta pertanggungjawaban atas rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin dan akan dimintai pertanggungjawaban atas keluarganya. Seorang isteri adalah pemimpin di dalam urusan rumah tangga suaminya, dan akan dimintai pertanggung jawabkan atas urusan rumahtangga tersebut. Seorang pembantu adalah pemimpin dalam urusan harta tuannya, dan akan dimintai pertanggungjawaban atas urusan tanggung jawabnya tersebut.” (HR. Al-Bukhari no. 844 dan Muslim no. 1829)

Dari Ma’qil bin Yasar radhiallahu anhu dia berkata: Sesunguhnya aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
“Tidak ada seorang hambapun yang Allah berikan kepadanya beban untuk memimpin, lalu dia mati dalam keadaan menipu orang-orang yang dia pimpin, kecuali Allah akan mengharamkan syurga atasnya.” (HR. Muslim no. 142)

Dari Abu Hurairah radhiallahu anhu bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat baginya, dan anak sholeh yang selalu mendoakannya.” (HR. Muslim no. 1631)
wallahua'lam....

Selasa, 6 Mac 2012

Bidadari UntukNya.....




      Sejalur garis merah jingga keemasan menerobos ruang jendela fabrik berbunga merah jambu.Percikannya mencerahkan suasana bilik yang telah dihuni sedari hampir lima tahun lalu.Bilik yang menyimpan seribu cerita kehidupan dalam manisnya melayari nikmat pernikahan yang halal lagi diredhai Allah Taala.

Dia meraup muka,mengaminkan doa sekaligus mengesat titisan airmata bak mutiara berjejeran dipipinya.Sunat Dhuha masih intim lagi dalam diari hidupnya pada hari ini..Seperti hari-hari yang sudah,tetap sama rutinnya sebagai penguat diri untuk menghadapi hari-hari yang penuh dengan pelbagai ragam rencah kehidupan yang tidak dapat diduga.Permulaan yang terbaik untuk meneladani tugasan sebagai suri rumah sepenuh masa ,yang dijawat sebaik menerima mas kahwinnya.Namun hari ini diari hidupnya sesak seketika digugah peristiwa semalam.
"Mampukah Asma'Sofia memegang payung emas yang menjadi impian wanita solehah di akhirat kelak?" soal sang suami,Asyraf Husaini.
Dia tertunduk bisu,dibiarkan persoalan yang menerjah halwa dengarnya itu di bawa pawana elektronik.Sementelah akal warasnya berusaha keras mencerna bicara selanjutnya."Andai dia telah tertakdir untuk menjadi pendamping kedua,sayap kiri perjuangan abang,Asma'Sofia redha Berkongsi kasih,"...Begitu lirih dia meluahkan rasa hati yang terpendam .Biarpun resah bertamu di kolam hatinya,gelodak perasaan tiada yang mampu mentafsirnya.Ingatannya tertuju pada catatan sang suami dalam diari hidup bersama bewarna perak,ayat-ayat cinta yang dikirim Allah menjadi ayat-ayat penguat kasih dan sayang antara mereka.
"Cukuplah hanya seorang permata di hati ini.Dia lah bidadari paling cantik,paling mahal.Antara hadiah terbaik yang di kirim Allah,"..Itu lah bicara suami yang di cintai setulus hati tatkala isu poligami dibual bicarakan.Terasa sejuk menyerap haba suhu badannya.Senyumnya kian manis .Syukurnya bertambah syahdu.

Manisnya berdamping dengan suami dalam limpahan cinta beserta nur kasih sayang seorang suami yang melayani dirinya bak bidadari.Tidak pernah mengangkat suara apabila dia tersalah catur hala kehidupan.Ditegur secara berhikmah,tapi ketegasan tetap intipatinya.Jauh sekali bermasam muka tatkala mulutnya bak murai tersalah dahan dek keletihan melayan karenah cahaya mata yang sepasang  itu.Puteri sulong sudah petah bertanya itu ini,genap empat tahunakhir bulan ini.Putera tunggal semakin lasak menjenguk alam yang hampir dua tahun dijengahnya ini.Kata Asyraf Husaini,Rasulullah saw adalah contoh teladan yang terbaik.terbaik dalam keluarga,terbaik untuk umatnya.Tidak cukup sekadar terbit di bibir ,ingin mencontohi nabi Muhammad saw.Tetapi sewajarnya mutiara-mutiara hidup daripada kerukunan Nabi Muhammad saw. bersama isteri-isteri baginda,anak-anak baginda,sahabat-sahabat baginda dan umat baginda wajar terus hidup dalam sebentang kain kehidupan kita.



Calon Madu..
Pertemuan empat mata dengan siswi jurusan syariah dibawah teriknya sinar sang suria ,bertemankan dinginya air laici kesukaannya.Manis sopan lagi beradab.Sesuai dan menepati jurusan yang di telaahnya.Siti khadijah Maisarah.Nama yang indah sepadan dengan si pemilik nama.
Satu demi satu cuba di hadamnya.Cuba dan terus dicuba walaupun pahit melebihi hempedu yang dihidangkan.Gadis itu menawar diri sebagai calon madunya!!...
"Maaf kan saya kakak.saya sakit.Sakit dengan panahan cinta Encik Asyraf Husaini.Saya telah cuba untuk merawat hati yang kian nazak dengan bisikan syaitan .Setiap kali saya terpandang dia,saya seolah-olah lupa dengan dunia disekeliling.Hilang arah hidup.Hanya dia yang saya mahukan.Wajahnya menghiasi mimpi-mimpi malam saya.Namanya sentiasa berteman.Biarpun dalam diam saya terlalu memujanya,mengasihinya.Lantaran takut hilang pedoman,saya mengagahkan diri.Izinkan saya melamar suami kakak."......

Gadis berusia 21 tahun sudah menoktahkan bicaranya.Dia terkesima.Nurani seorang isteri tersentak.Dia wanita bergelar Muslimah.Wanita yang dilahirkan dengan acuan srikandi-srikandi Islam.Bermahkotakan permata kesabaran dan kesetiaan siti khadijah.Namun ,sedikit sebanyak dia juga mewarisi mutiara cemburu Siti Aisyah.Dalam diam dia mencongak-congak .Wajarkah keluhuran dan ketulusan cinta Asyraf Husaini di tebak jarum kesangsian?...
Harus ,bagaimana dia menangani lamaran ini?Dalam kesamaran hala hidup,aku tidak terus teraba-raba.Lewat sepertiga malam ,aku masih sujud menagih sedikit belas Kasih Sayang Tuhan yang Maha Penyayang.Masih akrab dengan zikrullah,masih intim dengan Kalamullah sebagai penawar hati.
"Ya Tuhan Rabbul Izzati ,bantulah hambaMu ini .Berikanlah kekuatan dalam menghadapi ujian hidup ini.HambaMua hanya Insan lemah.Berikanlah petunjuk pada hambaMu ini," lirih aku menadah doa.Titisan air mata bukan tanda aku menangisi kesukaran yang menimpa tetapi tanda aku menginsafi kekurangan diri.

Mimpi Itu....
Aku terasing di depan Kaabah.Keseorangan.Hanya bintang malam yang menemani.Sejuk lagi mendinginkan.Kaabah terasa bercahaya.Hajatul Aswad seolah-olah memanggil aku untuk menciumnya.Tiba-tiba deretan gadis-gadis cantik bergerak menuju kearah ku.Maha Suci Allah.Mereka cantik sangat.Aku terasa kagum.Dek kerana cantiknya mereka,cahaya berkilau bertebaran di sekeliling.Di hadapan aku,mereka membuka ruang.Seseorang lengkap berjubah putih tampil dihadapanku .Aku terasa silau,hanya susuk tubuh yang mampu ku lihat.Tampan bersih wajahnya.Serasa aku mengenalinya.Abang Asyraf Husaini....seorang gadis yang kukira paling cantik memaut lengan abang Asyraf Husaini,Inikah Hurun A'in?Aku terasa kerdil sekali.Tanpa semena-mena,air mataku menitis.terasa sayu sekali.

Aku tersentak.Membuka mata .Mengesat air mata yang berjuraian,Ya Allah..Engkau kirimkan mimpi indah itu.Pasti ada Hikmahnya.Aku terlelap diatas sejadah.Didepanku Musyaf mulia.Pagi itu aku terasa sedikit segar.Terasa ada kekuatan untuk mendepani hari-hari yang mendatang.

"Aduhai sedapnya bau,"Suamiku kacak sekali berdiri memuji masakanku.
"Isteri abang ni memang pandai memikat selera abang,"sambungnya lagi.Aku hanya tersenyum.
Selesai dia menjamu selera aku membuka bicara yang sekian lama ku atur rapi di mindaku.
"Abang,menikahlah...." Kali aku tidak lagi lirih,tapi serasa ada kekuatan menyerap.Asyraf Husaini memandang tepat ke wajahku.Aku menunggu balasannya."Terima kasih"...itu sahaja jawapannya.Dia senyum lantas bangun menuju keluar rumah.Deruan enjin kereta berlalu pergi.Aku tahu kemana arahnya .Pasti ke masjid.

Cinta ku pada manusia tidak akan kekal abadi.Suami adalah pinjaman bukan hak milik kekal.Suami adalah Mutiara yang dipinjamkan oleh PenciptaNya untuk aku jaga,untuk aku gilap,supaya ia akan membantu aku meneruskan perjuangan sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini.
Justeru aku merasakan berkongsi kasih adalah sebahagian daripada resam pernikahan yang harus aku terima dengan tangan yang terbuka,walaupun tidak dapat aku nafikan hatiku sedikit terluka.Biarlah pedih seketika,moga kedinginan abadi aku raih semasa di akhirat kelak.
"Mengapa mengharamkan sesuatu yang dihalalkan Tuhan?."Bukankah poligami itu sesuatu yang dihalalkan dalam Islam.Malah ada hak yang perlu dilunaskan oleh Muslim terhadap Muslim yang lain.Poligami itu hanya diluluskan dengan lesen penuh hanya jika memenuhi setiap kriteria yang diwajibkan.Bukan suka sahaja hendak poligami.Sunnah memang la Sunnah.Tapi kena ikut Sunnah itu sepenuhnya.Orang perempuan kena fikir semula.Tangani permasalah poligami ini dengan sebijaknya.Jangan tangani dengan tuntutan talak.Dah jadi masalah lain pula.Tunjukkan pada suami yang kita adalah Muslimah yang kental.Lembut tapi tegas.Itu adalah sifat seorang Muslimah Solehah."bicara seorang ustazah lewat sesi ceramah Baitul Jannati masih terngiang-ngiang di halwa pendengaranku ini.

Amanah Buatku....
Petang remang itu,teratak indahku didatangi tetamu yang harus aku sambut dengan pelbagai rasa.Entah bagaimana untuka aku gambarkan perasaanku tika ini.Hendak marah,itu bukan diriku,hendak mengamuk itu pasti datangnya dari syaitan laknatullah.Harus bagaimana aku?..
Aku terkesima.

Gadis muda itu selayaknya dikenal sebagai calon maduku,terpacak didepan pintu rumahku.Bergandingan dengan suamiku.Harus bagaimana aku melihat?.Debar di hati hanya Allah yang tahu.
"Izinkan dia bersama-sama di dalam rumah ini untuk belajar sesuatu yang berharga."kata-kata terakhir suamiku Asyraf Husaini sebelum dia menghadiri kursus selama seminggu di sarawak.Meninggalkan calon madu bersama aku.isterinya ku yakinkan diri InsyaAllah ,suami ku masih waras.Itu ketetapan hati.

Seminggu berlalu dengan rasa pelbagai .Aku melayan calon maduku dengan sebaik mungkin.Kerana dia adalah Amanah.Ah,lambat laun dia juga ahli keluargaku.Anak-anak juga semakin rapat dengan calon maduku itu.Cemburu?.Sudah ku buang jauh-jauh.Aku menerimanya dengan ketetapan hati bahawa dia adalah yang terbaik untukku.
Ku pegang kemas rahsia suamiku yang ingin mengikuti sunnah poligami Rasulullah saw seikhlas hati daripada pengetahuan orang lain.Mudah manusia membuat tafsiran hingga mampu melupakan akal waras mereka.

Beberapa minggu kemudian,sedang aku menekuni rancangan TV kegemaranku,Asyraf Husaini datang memelukku .Dia memberikan sekeping sampul.Harum baunya.Menggeletar tanganku menerima sampul ungu muda itu.Ya Allah,kuatkan hati hambaMu ini dalam menempuh mehnah duniawi.Dia berlalu menuju kebilik air."Walimahnya 25 julai ini,"ujarnya sambil berlalu.
Ya Allah hari ulangtahun kami!.hampir aku tergamam Namun,aku harus  memaniskan wajahku.Aku selawat dan terus selawat.
Malam tadi Asyraf Husaini mengemas baju-baju,satu persatu di lipat teliti lalu di kemas di dalam beg kembara kami.Aku memandang dan terus memandang .Harus bagaimana perasaan aku?..bercampur baur.Cepat-cepat aku istighfar.
Suami yang ku cintai itu tersenyum,Aduh,aku terpesona.Mana mungkin wanita lain tidak terjatuh hati kepadanya.Sedangkan aku yanga sudah berbelas tahun menjadi pendamping disisinya  masih lagi terpesona dengan keindahan ciptaan Tuhan ini apatah lagi wanita lain yang masih mencuba mengintai ruang hatinya.

Tepat jam sebelas ,selesai sudah dia bekemas.Esok dia akan memulakan langkah baru.Begitu juga aku.Memegang status wanita bermadu.Ya Allah terasa peluh dingin merenik halus didahiku.Harus bagaimana aku melalui hari itu?Mahu tidak mahu,hari itu harus juga aku tempuhi.Bertemankan Kalamullah,sebagai penguat semangat diri.
"Sayang mari kita berjemaah,"ajakan suami ku mematikan lamunanku.
kucupan daripadanya di dahi ini masih segar.Sesegar beberapa tahun yang lepas.Dia meraih tanganku,mencium dengan sopan sekali.Malam itu aku tidur berbantalkan lengannya yang sasa.Terasa enak sungguh.Tidak terasa masa yang berlalu pantas.Malam esok lengan malah tubuh serta hatinya harus kukongsi kan dengan wanita lain.Jujur aku masih belum bersedia.
Pagi yang nyaman,indah ,damai lagi menyegarkan ,Aku membuka mata perlahan-lahan pelukan Asyraf Husaini masih kemas merangkul pinggangku.Ya Allah aku tidak ingin saat ini berlalu pergi.Sayup-sayup kedengaran laungan azan subuh.Ya Allah masanya semakin dekat.

Pagi Yang Dijanjikan...

Pagi yang dijanjikan,selesai solat berjemaah,suamiku berwirid dan berdoa.Agak panjang doanya kali ini,..
"Ya Allah,Tuhan yang Maha pengasih ..Panjangkan jodoh hambaMu ini bersama Asma'Sofia binti Muhammad.Jadikanlah dia isteri yang solehah dalam mentaatiMu,yang memiliki pekerti mulia dalam menjalankan kewajipan sebagai isteri kepada hambaMu ini.,Kurniakan dia syurga yang indah .Kurniakan dia ketenangan hati.Anugerahkan dia cahaya iman agar hidupnya bertambah bahagia.
Ya Allah Tuhan yang Kaya dengan kasih sayang.HambaMu ini memaafkan segala dosa-dosa isteri hamba Mu ini semenjak hari pernikahan kami hingga ke sampai satu waktu yang hanya Allah mengetahuinya.Sesungguhnya dia adalah sebaik-baik wanita yang telah di hadiahkan olehMu..Ya Allah hambaMu ini bersyukur atas segalanya ya Allah.."
Khusyuk ,sayu..mengharukan jiwa...
"Sayang,ini hadiah ulangtahun kita "...
Di tangannya ada hadiah berbalut cantik .Berbalut kemas dengan kertas berbunga kecil bewarna ungu,Sungguh itu adalah warna kegemaranku.
Jubah ungu lembut bersulam bunga-bunga kecil,ya Allah,ini adalah jubah yang sama  yang dilihat semasa di butik Mujahidah .Jubah yang telah mencuri perhatian ku semasa kami sekeluarga bersantai di Wisma Mahabbah.
"Pakailah.Ikut abang ke masjid".dia bangun menuju kebilik air.
Aku terduduk .Perlukah aku bersama-sama menghadiri majlis pernikahan itu?sangat penting kah aku di sana?.Andai aku tiada pun ,pernikahan pasti akan berlangsung juga..haruskah aku....
Antara sedar atau tidak aku kini berada di adalam masjid nian indahini,dingin,sejuk.mendamaikan .Kehadiran insan-insan lain di sekeliling aku seperti bayang-bayang .Aku terasa terbuai dek perasaan ku ini.
YaAllah kuatkan hatiku,.Pasti suamiku hanya membilang saat bergelar suami ke sekian kalinya.Pasti dia sedang menjeling ke arah bakal maduku.

Aku menoleh ke arah wanita yang bakal menjadi teman kedua suamiku.Aduhai indahnya ciptaan Tuhan,Cantiknya dia.Berpadanan benar dengan suamiku.Aku hanya tertunduk kemudiannya.Tugas aku telah selesai .Merestui satu hubungan yang halal melalui persetujuan aku.selebihnya kuserahkan pada yang berhak lagi utama.
Pasangan pengantin sudah mengambil tempat,Tok kadi sudah menghadap bakal pengantin.
Peluh dingin memercik halus.Dadaku berdebar.Ijab di saksi ,qabul di restui..
Aku mengangkat wajahku,Harus bagaimana?..Sugul atau maniskah?...
Majlis pernikahan yang berlangsung tiada halangan .Segalanya di permudahkan.
Pengantin itu mendatangi aku.Aku terasa satu perasaan yang amat lapang .lantas ku angkat wajahku.
Pengantin muslimah itu bersalam hormat denganku.lalu aku di cium dan di peluknya.
Kejap,..kemas..Menusuk hingga ke kalbu.
Manik-manik juraian air mata pengantin baru itu tumpah ke tudungku,"Terima kasih kakak",ujarnya dalam sebak."Akak adalah wanita terbaik untuk suami,wanita solehah yang dijanjikan dalam Al-Quran .benar ayat-ayat Allah..Subhanallah.""Bantu lah saya untuk menjadi isteri yang membahagiakan suami saya"..
Kelu,Khali.
"Ya,bantulah isteri saya,untuk menjadi isteri yang tahu menghargai betapa bernilainya sebuah perkahwinan.kerana perkahwinan adalah cara untuk memahami erti saling memberi,saling menghargai,Perkahwinan adalah perjuangan untuk sama-sama berkongsi pahala demi jannah yang diiimpikan."Leka aku mendengar 'pertolongan 'daripada sepasang pengantin baru.

Aku mendongak.
Aku terkejut.
Lelaki itu adalah Naufal Fahmi,teman akrab suamiku..Dia yang segak bergaya .Berbusana Muslim.Seri seorang pengantin terpancar.Disebelahnya adalah lelaki yang kucintai .Tersenyum.
Pesan suamiku pada merpati sejoli itu,"Jaga lah Hati Isteri,jangan disakiti,jangan dilukai,kerana ia amanah Ilahi,Bila bahagia membuatkan diri menjadi suci,isteri seorang terasa cukup di hati.Tidak perlu menikah lagi.Belajarlah membahagiakan seorang isterimu.."

Bagaimana agaknya raut wajahku ketika itu?..mahu tersenyum,terasa sebu di wajah menahan malu,
Ketika sesi bergambar,suamiku membisikkan sesuatu.
"Bidadari di sana pasti cemburu kerana bidadari disisi abang adalah yang terpilih oleh Ilahi."
Sungguh bidadari itu untuknya.Bidadari untuk suami yang membahagiakan satu isterinya.....
Subhanallah....
semoga Allah sentiasa merahmati nya penulis asal..
RautanSeni..oleh NorShafriza binti Abdul Razak..anis keluaran mac 2012.

Tulisannya amat tersentuh hati diri ini sebagai seorang isteri,jadi ku ingin berkongsi dengan sahabat2 ku semoga ada sedikit manfaat di sebalik kisah ini...

Isnin, 27 Februari 2012

SALAH FAHAM UMAT ISLAM TENTANG JODOH DAN PASANGAN..















salah Faham Umat Islam Berkenaan Jodoh dan Pasangan

Share dari pendakwah bebas Ustaz Emran Ahmad...moga Allah SWT memberinya kehidupan yang di BerkatiNya..dan sentiasa dibawah RahmatNya...aminn...
Persoalan Jodoh termasuk perkara yang berada dibawah bab takdir dan telah ditetapkan oleh Allah SWT semenjak azali lagi. Memahami masalah jodoh hendaklah dengan kefahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang diajarkan oleh Rasulullah agar kehidupan kita dilalui dengan pertunjuk yang sahih dan mencapai keredhaan Allah SWT. 

Salah Faham Berkenaan Jodoh

Saya sendiri pernah tersalah faham di dalam bab jodoh, ianya berlaku kepada saya sewaktu masih muda remaja dahulu dan sibuk mengejar cinta serta mengharapkan jodoh yang istimewa dan akhirnya memang saya mendapat jodoh yang benar-benar istimewa. 


Saya berkahwin dengan seorang gadis arab, anak perempuan seorang ulama sunnah di Yaman. Sewaktu itu saya cukup bergembira dan merasa sangat berbangga. 

Walaubagaimanapun Allah lebih menyayangi saya. 


Allah swt befirman : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. " (Al-Baqarah : 216) 

Allah mengehendaki kebaikan kepada saya dengan menganugerahkan kepada saya sebuah perceraian sehingga melaluinya saya dapat memahami erti sebuah jodoh dan perkahwinan. 

Tanpa penceraian tersebut nescaya saya tidak akan mengetahui dan memahami maksud jodoh sehingga ke hari ini. 

Alhamdulillah. 

Saya diberi izin oleh Allah SWT untuk berkahwin kali kedua apabila seorang bapa yang soleh menawarkan anak gadisnya kepada saya. Ketika itu wujud perbalahan di dalam jiwa saya yang membuatkan saya berfikir panjang ini disebabkan sebagai seorang ustaz (ketika itu sudah bergelar ustaz) saya memikirkan untuk mencari seorang gadis yang sempurna, wanita yang hebat dan mampu mengubati hati saya yang terluka dan cedera akibat perkahwinan terdahulu. 

Kali ini mahu mencari yang paling comel, paling gebu, paling sempurna sehingga saya gariskan ciri-ciri isteri idaman saya yang persis bidadari. 
Allah menyebut di dalam Al-Quran bahawa Syaitan akan menyesatkan manusia dengan pelbagai cara antaranya ialah dengan angan-angan yang memperdayakan : "Dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka." (Al-Baqarah : 216) 

Allah befirman : "Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka." (An-Nisa : 120) 


Alhamdulillah, sekali lagi Allah memberikan kebaikan kepada saya dengan mendapat nasihat dan pertunjuk berguna daripada ulama-ulama sunnah di Yaman. Kata mereka, Allah tidak akan memberikan "bidadari" kepada anda di dunia tetapi di akhirat. Jadi jika anda mahukan wanita yang bertaraf bidadari di dunia maka kahwinilah dengan niat yang betul, jalanilah kehidupan rumahtangga dengan betul, jadilah suami yang betul dan InsyaAllah isteri anda akan menjadi bidadari di akhirat. 

Daripada Ibnu Umar r.a., katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap seorang dari kamu akan ditanya perihal kepimpinannya. Pemimpin adalah yang bertanggungjawab memimpin dan akan ditanya perihal yang dipimpin olehnya. Seorang lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya dan akan ditanya perihal kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal kepimpinannya. Buruh adalah pemimpin dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal kepimpinannya. Jadi setiap seorang dari engkau semua itu adalah pemimpin dan tentu akan ditanya perihal kepimpinannya. "(Hadis sahih Muttafaq 'alaih) 

Syeikh lalu menceritakan perihal Umar RA yang turut mengalami masalah rumahtangga, bahkan rasulullah sebaik-baik manusia juga menghadapi masalah yang sama sekaligus menyedarkan saya "Mana ada manusia yang sempurna." 

Diriwayatkan bahwa seorang pemuda datang ke rumah Umar bin Khatthab Radhiallahu 'anhu hendak mengadukan keburukan akhlak isterinya. Maka dia berdiri di depan pintu menunggu Umar keluar. Lalu dia mendengar isteri Umar bersuara lantang pada suaminya dan membantahnya sedangkan Umar diam tidak membalas ucapan isterinya. Pemuda itu lalu berbalik hendak pergi, sambil berkata : "Jika begini keadaan Umar dengan sifat keras dan tegasnya dan dia seorang amirul mukminin, maka bagaimana dengan keadaanku ?". 

Umar keluar daripada rumahnya dan melihat ada orang beredar dari rumahnya lalu memanggil pemuda itu dan berkata : "Apa keperluanmu wahai pemuda ?" Dia menjawab : "Wahai Amirul Mukminin, pada mulanya aku datang hendak mengadukan keburukan akhlak isteriku dan sikapnya yang membantahku. Lalu aku mendengar isterimu berbuat demikian, maka aku pun kembali sambil berkata :"Jika demikian keadaan amirul mukminin bersama isterinya, maka bagaimana dengan keadaanku ?" maka Umar berkata : "Wahai saudaraku. Sesungguhnya aku bersabar atas sikapnya itu kerana hak-haknya padaku. Dia yang memasakkan makananku, yang membuatkan rotiku, yang mencucikan pakaianku, yang menyusui anak-anaku dan hatiku tenang dengannya dari perkara yang haram. Kerana itu aku bersabar atas sikapnya". Pemuda itu berkata : "Wahai Amirul Mukminin, demikian pula isteriku". Berkata Umar "Bersabarlah atas sikapnya wahai saudaraku ..." [Kitab Al-Kaba'ir oleh Dzahabi hal. 179] 

Janganlah Melihat kepada Keburukkan Seseorang kerana tidak akan wujud Pengakhirannya tetapi lihatlah kepada Kebaikan yang akan membolehkan Kita menumpang dan menikmatinya. 

Saya lalu terus bersetuju untuk mengahwini seorang gadis mentah, muda seusia 17 tahun untuk menjadi isteri saya tanpa teragak-agak. Alhamdulillah, setelah beberapa tahun kini dialah bidadari saya yang merupakan wanita paling indah yang pernah saya temui. 

Anda yang bertanggungjawab "berusaha" menjadikan pasangan anda sebagai bidadari atau lelaki soleh yang anda inginkan melalui usaha berterusan dan perjuangan melaksanakan hal tersebut beroleh pahala. 


(Sila Klik gambar untuk membesarkan Imej agar lebih jelas)
Berdasarkan carta jodoh di atas ANDA akan mendapati bahawa JODOH kita sebenarnya sudah DITAKDIRKAN iaitu bermaksud ianya sudah ditetapkan oleh ALLAH SWT semenjak azali lagi.
 Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya: Rasulullah s.a.w seorang yang benar serta dipercayai bersabda: "Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari kali ketiga bertukar pula menjadi seketul daging. Kemudian Allah s.w.t mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya samada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Maha suci Allah s.w.t di mana tiada tuhan selain-Nya." (Sahih Muslim, Kitab Takdir, no: 4781)
tiada tuhan selain-Nya." (Sahih Muslim, Kitab Takdir, no: 4781)
Tidak kira apakah jalan yang anda gunakan untuk berkahwin maka ianya sudah pun ditetapkan oleh yang demikian mengapakah kita harus menggunakan JALAN yang HARAM sedangkan dengan JALAN yang HALAL pun kita boleh mendapatkannya ? 

Janganlah mencelakakan diri kita dengan memilih jalan yang haram dan berdosa kerana kelak kita akan menanggung akibatnya di akhirat. 
Kenapa bimbang belum mendapatkan jodoh ? 

Apakah anda akan ditakdirkan akan berkahwin atau ditakdirkan tidak akan berkahwin TERNYATA sudah tidak sepatutnya dipertikaikan lagi kerana ianya SUDAH DITETAPKAN dan hal tersebut tidak berubah. 

Jadi mengapa bimbang dan risau ? Orang yang beriman kepada Takdir maka tiada kebimbangan dan kerisauan di dalam jiwa mereka kerana menyakini segala sesuatu sudah pun ditetapkan. 
Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya dari Abu Darda r.a dari Nabi s.a.w bersabda, ‘Tidak sekali-kali masuk ke dalam syurga (Allah), orang yang mendustakan takdir (Allah).’ (lihat: Silsilah hadis Sahihah, nombor 675).
Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya dari Abu Darda r.a dari Nabi s.a.w bersabda, ‘Tidak sekali-kali masuk ke dalam syurga (Allah), orang yang mendustakan takdir (Allah).’ (lihat: Silsilah hadis Sahihah, nombor 675). 


Apa yang perlu anda risaukan ialah bagaimana harus berusaha, jalan yang perlu dipilih agar memenuhi PERINTAH ALLAH itu sahaja. 

Siapakah Pasangan Anda ? 

Anda tidak perlu TAKUT siapakah jodoh anda kerana pasangan anda sudah pun ditentukan oleh Allah SWT dan apa yang perlu anda lakukan ialah untuk berusaha mendapatkan calon yang soleh dan solehah sebagai memenuhi PERINTAH ALLAH dalam keadaan anda penuh sedar dan yakin ianya sudah ditetapkan. 

Anda berusaha semata-mata kerana mahu memenuhi perintah Allah. SWT. 


Memilih jodoh yang baik 


Berdasarkan carta di atas, maka anda diharapkan dapat memahami bahawa Kehendak Allah yang disukai dan diredhai-Nya (Iradah/Kehendak Syar'iyah) dapat diketahui oleh kita dengan ILMU berdasarkan Kitab dan Sunnah. 

Manakala Kehendak Allah yang menyebabkan berlakunya segala sesuatu, yang mengizinkan terjadi tiap-tiap perkara (disebut Iradah/ kehendak Kauniyah) tidaklah bermakna ianya disukai dan diredhai oleh Allah SWT. 

Tiada sesiapa termasuk anda dan ulama dapat mengetahui siapakah lelaki atau wanita yang sesuai atau baik untuk anda. Mr. Right atau Mrs. Right tidak akan dapat diketahui oleh Kita selama-lamanya tanpa WAHYU di sisi. 

Allah swt befirman : "(Dia adalah Tuhan) Yang Mengetahui yang ghaib ,maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorangpun tentang yang ghaib itu." (Jin : 26) 

Memandangkan Rasulullah telah wafat maka tiada sesiapa lagi boleh mengetahui siapakah yang lebih sesuai untuk kita dan siapakah pula tidak. Majoriti orang "menyelidik", "mengkaji" latar belakang calon pasangan masing-masing dengan tujuan "merisik" mencari calon yang paling sesuai dan terbaik. 


Hakikatnya hanya ALlah SWT yang mengetahui, boleh jadi setelah dikaji "di dalam makmal"maka didapati seorang wanita itu baik untuk kita atau sebaliknya namun setelah berkahwin dan hidup bersama maka dia kemudiannya berubah hati dan menjadi jahat serta menyeleweng.

“Cintailah apa yang kamu cintai sekadarnya saja, boleh jadi apa yang kamu cintai itu menjadi sesuatu yang paling kamu benci pada suatu hari nanti. Bencilah Sesuatu yang yang kamu benci sekadarnya saja, boleh jadi ia akan menjadi sesuatu yang paling kamu sukai pada suatu hari nanti.”
(HR. Tirmidzi)

Hati manusia boleh berubah ibarat pantai. 

Jangan membuang masa mencari Mr. Right atau Mrs Right sehingga mengabaikan tanggungjawab kita yang banyak. Masa kita terhad, maka perlu dipergunakan semaksima mungkin di dalam gerak kerja ibadah kita seharian. 

Kita harus perlu sentiasa TEGUH di atas Perintah ALLAH SWT. 

Aisya ra., berkata, “Nabi SAW sering berdoa dengan mengatakan, ‘Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku untuk selalu taat kepada-Mu.’(hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Abu Syaibah) 
Ambilah iktibar dari Kisah Ummu Habibah (Ummul Mukminin), Ramlah binti Abu Sufyan yang telah mengahwini Ubaidullah bin Jahsy, seorangmuslim seperti beliau. Tatkala kekejaman kaum kafir terhadap kaum muslimin, Ramlah hijrah menuju Habsyah bersama suaminya. Disanalah beliau melahirkan seorang anak perempuan, yang diberi nama Habibah. Dengan nama anaknya inilah beliau dijuluki (Ummu Habibah). 

Allah menguji beliau dengan situasi yang dahsyat apabila suaminya murtad daripada Islam sewaktu berada di Habsyah dan berusaha memurtadkannya. Beliau tetap istiqamah di atas Islam dan akhirnya berpisah dengan suami tercinta kerana agama. Hal ini akhirnya menjadi PELUANG kepadanya untuk menjadi Ummul Mukminin apabila beliau kemudiannya dipinang oleh Rasulullah SAW. Rasulullah bertemu dengannya pada tahun ke enam atau ke tujuh Hijriyah. Waktu itu Ummu Habibah berumur 40 tahun.
 


Islam Mengizinkan Lelaki Mukmin berkahwin dengan Wanita Ahli Kitab 
"Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka. (Dan dihalalkan mangawini) wanita yang menjaga kehormatan* diantara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik. Barangsiapa yang kafir sesudah beriman (tidak menerima hukum-hukum Islam) maka hapuslah amalannya dan ia di hari kiamat termasuk orang-orang merugi.” (Al-Maidah : 5)



Mengapakah Allah mengizinkan lelaki yang beriman mengahwini wanita ahli kitab ? Jawapannya kerana persamaan Aqidah di antara kita dan mereka. Perbezaan di antara ahli kitab dan umat Islam ialah berkait masalah syariat demikian yang dimaksudkan dengan keizinan bolehnya berkahwin di antara lelaki muslim dan ahli kitab iaitu mestilah ahli kitab yang memiliki kepercayaan Aqidah yang sahih dan benar berdasarkan kitab samawi terdahulu bukannya merujuk kepada ajaran Yahudi dan Kristian yang SYIRIK dan mensyirikkan Allah di dalam ajaran mereka sehingga menjadikan mereka orang musyrikin dan bukan lagi ahli kitab. 

Di dalam “Sahih Bukhari” terdapat sebuah riwayat yang berasal dari Abdullah bin Umar r.a. bahawasanya ia pernah ditanya tentang perkahwinan antara lelaki muslim dan wanita nasrani atau yahudi, Abdullah bin Umar menjawab : “Allah mengharamkan wanita musyrik dikahwini oleh lelaki muslim, Aku tidak tahu syirik apakah yang lebih besar daripada seorang isteri yang mengatakan bahawa Tuhannya ialah Isa, padahal beliau itu adalah salah seorang dari hamba Allah s.w.t. Jika ia tidak mengatakan hal itu, ia tetap dipandang sebagai wanita ahlul kitab, walaupun ia meyakini kesucian Isa al Masih atau meyakini kesucian bondanya Maryam atau meyakini kesucian roh kudus dalam bentuk yang berlainan dari kepercayaan orang muslim; selama ia tidak menyekutukan Allah”. (hadis Sahih Bukhari) 


Hal ini membuktikan bahawa Islam menganggap perkahwinan itu cuma alat dan tools untuk merealisasikan perjuangan dan tuntutan ibadah bagi menyalurkan keperluan fitrah manusia ke arah yang halal. 


Lantas untuk orang yang sedar akan segera memahami bahawa adalah tidak perlu untuknya mengambil masa yang lama untuk memberi respon kepada jemputan atau pinangan perkahwinan apabila dirinya dipinang jika cara dan kaedah yang digunakan adalah menurut syarak. 


Manfaatkan sahaja peluang dan rezeki yang diberikan untuk digunakan ke jalan Allah SWT. 


Semuanya berbalik kepada diri kita sendiri apakah kita sebenarnya mahu atau mampu menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah bukan melihat kepada orang lain untuk dijadikan alasan di atas kegagalan kita. 

Asiah merupakan isteri Firaun, tetapi dia berjaya menjadi wanita yang solehah dan memasuki syurga Allah. 

Allah befirman : "Dan Allah membuat isteri Fir'aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman." (At-Tahrim : 11) 

Manakala Isteri Nabi Luth pula merupakan ahli neraka sekalipun suaminya ialah Rasul dan Nabi. 

Allah befirman : "Kecuali isterinya. Kami telah menentukan, bahwa sesungguhnya dia itu termasuk orang-orang yang tertinggal (bersama-sama dengan orang kafir lainnya)." (Al-Hijr : 60) 

Allah befirman : "Maka Kami selamatkan dia beserta keluarganya, kecuali isterinya. Kami telah mentakdirkan dia termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan)." (An-Naml : 57) 

Hal ini sebenarnya bertitik tolak kepada ILMU dan kefahaman yang sahih menurut KItab dan Sunnah untuk menyedari kewajipan dan peranan kita di dalam agama. 

Tugas anda ialah berusaha mengikut cara yang sahih dan menjalani ibadah dengan segigih mungkin kepada Allah SWT manakala bakinya berserah kepada Allah untuk menetapkan keputusan di atas usaha kita. 

Kita sudah berusaha dan akan terus berusaha, resultnya bukan urusan kita.

semoga ada manfaatnya untuk kita semua...